expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Penukaran dan pengeluaran Matawang

Matawang dan penggunaannya

Salah satu perkara yang paling penting di fikiran setiap pelancong adalah wang. 

Di mana untuk mendapatkan ia, berapa banyak yang perlu di tukar, bagaimana untuk menukar, atau bagaimana untuk membayar. Ini adalah perkara-perkara penting yang kita mesti fikirkan dan faham sebelum melawat ke sesuatu negara. 





Di Vietnam, dan secara amnya di seluruh dunia, wang tunai adalah raja, akan tetapi sebelum anda bertolak ke Vietnam, cubalah ambil masa beberapa minit untuk membaca maklumat ini supaya perjalanan anda lancar tanpa sebarang halangan!

Insyaallah.

Terdapat banyak cara untuk membelanjakan wang anda, sama ada untuk membeli-belah, 

pelancongan atau makanan lazat! Anda boleh membayar dalam Vietnamese dong (VND), dolar Amerika Syarikat atau dengan Ringgit Malaysia. 

Berhati-hati apabila menggunakan matawang Dong. Walaupun semua wangnya adalah dalam pelbagai saiz dan warna, ia masih boleh menjadikan kita keliru dan sukar untuk membezakannya. Sebagai contoh, 500,000 dan 20,000 nota dong, kedua-dua mempunyai warna yang sedikit berbeza iaitu berwarna biru dan wang 200,000 dan 50,000 adalah berwarna merah. Ia sudah pasti mengelirukan apabila kita hendak membuat pembayaran.

Di pasar atau kedai-kedai tempatan, pastikan anda membawa wang kecil (kurang daripada 100,000 dong) kerana mereka mungkin tidak mempunyai wang kecil untuk anda. Penggunaan Usd adalah meluas di bandar Ho Chi Minh. Banyak tempat yang boleh menerima Usd. Sebagai contoh di restoran, hotel dan kedai, tetapi biasanya anda tidak akan dapat kadar pertukaran yang sangat baik kerana peniaga boleh menetapkan kadar tukaran mengikut suka hati mereka sendiri.

Akan tetapi, semenjak kedatangan ramai pelancong Malaysia di Ho Chi Minh, anda boleh menggunakan Ringgit Malaysia hampir di semua kedai, pasar malam, gerai makanan islam dan di restoran halal.


Walaupun Ringgit Malaysia diterima oleh semua peniaga, anda hendaklah juga menyediakan sedikit matawang Dong untuk membayar tambang Teksi dan membeli makanan di gerai-gerai kecil. 



Penukaran Matawang dan Pengeluaran Wang di ATM



Sebelum anda bertolak ke Ho Chi Minh, pastikan anda menukar sedikit matawang Dong dan jika anda hendak menggunakan Ringgit Malaysia pastikan anda membawa wang kecil. Ini adalah kerana kedai-kedai atau gerai-gerai makan disana kadang-kadang kehabisan wang kecil dan ini akan menyebabkan anda terpaksa menggunakan Dong.

Sekiranya anda hendak menukarkan matawang Ringgit ke Dong atau dari USD ke Dong pula, anda boleh menukar matawang di sekitar Ben Thanh Market sahaja. Di hadapan Ben Thanh Market terdapat kedai emas yang boleh membuat tukaran matawang. Kadar tukaran di sini juga agak berpatutan berbanding jika anda menukar matawang di lapangan terbang atau di pusat bandar. Anda juga boleh menukar matawang Dong ke Ringgit Malaysia jika anda hendak pulang ke Malaysia.

Sekiranya anda hendak mengeluarkan wang di mesin ATM di Ho Chi Minh. Anda hendaklah terlebih dahulu mengaktifkan dan menetapkan had pengeluaran di luar negeri untuk kad ATM anda terlebih dahulu. Anda boleh melakukannya sama ada di mesin ATM di Malaysia atau dengan menelefon nombor'customer service' di belakang kad ATM anda.

Kebanyakan mesin ATM HSBC dan TechCom ATM membenarkan transaksi pengeluaran maksimum sebanyak 5,000,000-6,000,000 dong. Lain-lain ATM membenarkan sekitar 2 juta dong. Akan tetapi kebanyakan ATM ini mengeluarkan wang besar seperti sekeping wang 500,000 Dong dan ini menyukarkan kita apabila hendak membuat pembelian di kedai yang kecil kerana kadang-kadang mereka tidak mempunyai tukaran wang kecil. Atau, sekiranya anda mempunyai kad Maybank, anda boleh membuat pengeluaran di Maybank Ho Chi Minh. Keburukan mengeluarkan wang di mesin ATM di sana adalah kerana kadar tukaran yang tinggi sedikit berbanding di Malaysia.

ATM di sekitar bandar secara amnya selamat, tetapi, seperti mana-mana sahaja di dunia,
cuba elakkan pengeluaran wang ATM di tempat yang ramai orang.

Untuk menyertai trip kami, sila hubungi 011-23504209

No comments:

Post a Comment